Tuesday, May 13, 2014

Certot Patriot Biru- JL

Kelopak mata saya sudah amat berat. Mata putih sudah bertukar warna kepada warna merah saga. Sudah  pasti orang  akan menyangka saya adalah pontianak atau jerangkung yang sedang keliru duduk di kerusi. Saya memandang wajah sahabat saya yang menjadi pasangan mengajar pada hari itu.
            Kata saya kepada beliau, “Saya sangat mengantuk.”
            Sahabat saya mempunyai nama yang amat indah, Siti Zubaidah binti Samad. Katanya, dulu bapanya suka kisah Siti Zubaidah dalam sejarah negeri Kedah. Namun nama panggilannya berbeza sama sekali, Intan.
            Intan menunduk kerana ketika itu dia berdiri, “Kau berdugas malam tadi?”
            Saya yang sudah tidak berdaya mengangkat kepala hanya mengerdipkan mata. Saya tidak pasti sama ada dia memahami atau tidak, tetapi yang pasti dia keliru dengan apa yang bakal dia katakan kepada saya kelak.
            Saya lihat Intan menggenggam jam randik berwarna hitam sambil menggumam.
            “Kau rehatlah sekejap di belakang ini beberapa minit. Kau ambil tajuk selepas rehat. Aku akan minta bantuan rakan di kelas sebelah. Mereka bertiga hari ini.”
            Saya lega mendengar keputusan Intan. Ya, saya sudah berusaha menahan kantuk, namun saya tidaklah sekuat yang disangka. Kejadian yang menimpa pelatih malam tadi  benar-beanr menguji kesabaran saya. Penyampaian modul PLKN tidak semudah yang disangka. Saya sebagai jurulatih baharu, terasa tugasan ini amat mencabar. Sudahlah ditugaskan jauh ke dalam hutan. Tidak sangka pula kerajaan memberi kelulusan sebuah kem PLKN diwujudkan di dalam hutan dan berdekatan tasik lagenda pula.
            “Wina, kau kalau mahu tidur pergi balik bilik.”
            Saya tiba-tiba terkejut apabila terdengar suara seorang lelaki yang amat saya kenali. Ketua Jurulatih atau singkatannya KJ.
            Saya terpisat-pisat melihat wajahnya yang selamba.
            “Maafkan saya KJ. Saya terlalu mengantuk. Kejadian histeria malam tadi membuatkan saya tidak boleh tidur hingga ke pagi. Pelatih itu pula....”
            “Sudah. Itu semua alasan basi.”
            Saya tercengang. Saya tidak diberi peluang untuk memberi penjelasan. Kemudian saya berpaling daripada memandang wajah KJ yang sudah menyinga. Saya lihat sahabat saya berada di hadapan kelas bersama sekeping nota di tangan. Dia memandang wajah saya dengan sebuah pandangan yang sukar saya tafsirkan.
            Lalu saya mengambil kunci bilik dan terus keluar dari kelas.
            “Saya mohon  diri ke bilik sebentar. Mahu segarkan diri.”
            “Ambilkan aku air sejuk di dewan. Aku haus.”
            Saya merengus kasar di belakang KJ.


            

No comments:

Post a Comment